Khamis, 31 Januari 2008

Program khas pertanian bulan depan

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan Program Bicara Tani mulai bulan depan bagi meyakinkan orang ramai, terutama generasi muda, bahawa pertanian adalah perniagaan yang menguntungkan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata peserta program berbentuk forum sehari itu akan diberi maklumat terkini mengenai hala tuju, strategi, bantuan dan sokongan disediakan agensi berkaitan.

Katanya, program itu mensasarkan penyertaan seramai 24,500 petani, usahawan industri asas tani, graduan, generasi muda yang mahu menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan serta ahli persatuan, koperasi dan pertubuhan berkaitan pertanian.

“Bicara Tani ini diadakan kerana kita dapati orang ramai masih kurang yakin pertanian adalah satu perniagaan yang boleh memberi pulangan menguntungkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Program Bicara Tani di sini, semalam.

Program selama dua bulan itu akan dilancarkan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah, pada 12 Februari ini.

Borang penyertaan boleh didapati di Jabatan Pertanian negeri dan daerah atau menerusi laman web www.agrolink.moa.my atau www.bicaratani.com.my atau menghubungi urus setia di talian 03-9058 188.

Muhyiddin berkata, walaupun kementerian berjaya melahirkan lebih 8,000 usahawan tani menerusi pelbagai program yang dijalankan sejak tiga tahun lalu, usaha menarik minat generasi muda menyertai sektor pertanian akan diteruskan.

Katanya, ini penting bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani yang terbabit secara langsung dalam rantaian bekalan, termasuk peringkat pemprosesan dan pemasaran.

“Selama ini petani kita hanya pakar dalam tanaman, mereka tidak mengambil berat aspek logistik dan rantaian bekalan makanan kerana menyerahkannya kepada orang lain.

“Oleh itu, mereka tidak memperoleh hasil pendapatan maksimum kerana yang untung orang tengah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, stok penimbal beras Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) yang kini hanya dapat bertahan dua minggu perlu ditambah bagi menjamin bekalan dan harga berikutan peningkatan permintaan tempatan dan dunia.

Katanya, keperluan beras negara kini adalah kira-kira 2.4 juta tan setahun dengan 1.6 juta tan dipenuhi menerusi pengeluaran domestik manakala selebihnya diimport.

“Ada negara menambah stok beras kerana peningkatan permintaan dan ada negara yang tidak mempunyai stok penimbal beras sebelum ini juga mahu berbuat demikian.

“Justeru, kita perlu menyediakan bekalan stok penimbal beras lebih daripada sekarang mungkin untuk tempoh tiga bulan supaya tidak berlaku kekurangan bekalan,” katanya sambil menambah mesyuarat pertama Majlis Harga Kebangsaan dijadualkan selepas mesyuarat Kabinet minggu depan.

Tiada ulasan: