Jumaat, 18 Januari 2008

Penduduk miskin ternak kambing berkelompok

Setiap kumpulan diberi peruntukan RM27,000 untuk bina kandang, beli baka dan makanan

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat kini melaksanakan projek ternakan kambing secara kelompok, membabitkan penyertaan penduduk miskin negeri ini dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Projek terbabit disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, yang mengenal pasti mereka yang layak sebelum dibahagikan mengikut kelompok 10 peserta.

Setiap kumpulan itu diberi peruntukan RM27,000 untuk membina kandang, membeli baka, makanan ternakan dan menjaganya secara bersama sebelum dapat menikmati hasil usaha mereka dalam masa lapan bulan.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata projek perintis projek itu kini membabitkan peserta sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor, Kadok dan Kok Lanas dengan peruntukan RM99,900.

"Sekitar Parlimen Ketereh, empat kelompok dibentuk membabitkan 40 keluarga miskin. Ini adalah sebahagian usaha terbaru Kerajaan Pusat membantu penduduk miskin di Kelantan.

"Setiap kandang yang dibina akan menempatkan sekurang-kurangnya seekor kambing jantan sebagai induk yang mampu mengawan kira-kira 30 kambing betina.

"Baka kambing yang diternak peserta ialah Jamnapari dan Boer, induk jantan kambing itu berharga sekitar RM3,000 seekor," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menyampaikan induk kambing kepada kelompok projek itu di Kampung Kadok dekat Ketereh, semalam. Turut hadir Pengarah JKM Kelantan, Md Noor Chik.

Pada majlis sama, Md Alwi turut menyampaikan bantuan persekolahan iaitu 63 basikal bernilai RM9,135 kepada 63 murid miskin daripada sekitar Parlimen Ketereh.

Dalam perkembangan berasingan, Md Alwi meminta semua Orang Kurang Upaya (OKU) di Kelantan supaya segera mendaftarkan diri masing-masing dengan JKM bagi pemantauan dan bantuan dihulurkan kepada mereka.

"JKM adalah satu badan yang menjaga kebajikan rakyat, sama ada miskin atau OKU, bantuan akan dihulurkan mengikut keperluan dan kelayakan," katanya.

Petikan Berita Harian Online

Tiada ulasan: