Rabu, 17 Februari 2010

Tuah lembu beranak tiga

JERTIH: Seorang penternak, Abd Rahman Ishak, 53, dari Kampung Kayu Kelat, dekat sini, mendapat rezeki berganda apabila lembu yang dipeliharanya sejak enam tahun lalu melahirkan tiga anak, malam semalam.

Beliau berkata, lembu itu melahirkan tiga anak betina di pekarangan rumahnya kira-kira jam 10 malam dan mengakui terkejut kerana sepanjang bunting, perut haiwan berkenaan tidak kelihatan terlalu besar.

Isteri Abd Rahman, Salbiah Yusof, 51, berkata mereka melihat dari awal proses kelahiran anak lembu berkenaan dan tidak menyangka anak lembu kedua dilahirkan selang beberapa minit, sebelum yang ketiga 20 minit kemudian.

“Kami gembira memperoleh rezeki berganda kerana sejak menternak lembu lebih 10 tahun lalu, perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Salbiah yang mempunyai 10 lembu bercadang memberi panggilan sesuai kepada tiga anak lembu berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Azizol Mohd Sharun, berkata kejadian lembu peliharaan melahirkan tiga anak agak luar biasa dan sangat jarang berlaku, melainkan lembu betina itu diberi suntikan super ovulation untuk menggalakkan pengeluaran telur.

Beliau berkata, pemilik haiwan terbabit perlu memastikan lembu berkenaan memberi susu secukupnya bagi memastikan ketiga-tiga anaknya itu boleh membesar.

“Kebarangkalian untuk lembu betina melahirkan tiga anak sekali gus jarang berlaku dan pemilik lembu itu sangat bertuah.

“Jika ketiga-tiga anak lembu itu memiliki berat yang sama atau hampir sama, rasanya tiada masalah untuk ia bertahan dan hidup lebih lama.

“Pemilik boleh memberikan ibu tumpang untuk memastikan semua anak lembu itu mendapat susu secukupnya pada trimester awal kelahiran.

“Susu yang cukup amat penting kerana ia antara faktor menentukan jangka hayat anak lembu berkenaan,” katanya.