Sabtu, 13 September 2008

Melahirkan penternak kambing

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN (Utusan Online)

BIDANG penternakan kambing kini semakin mendapat sambutan menggalakkan kerana berpotensi memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Sambutan yang diterima pula bukan setakat dari golongan penternak sahaja, malah golongan profesional seperti jurutera dan akauntan juga telah menunjukkan minat mereka untuk mengusahakan bidang ini.

Namun, bukan mudah bagi individu yang tiada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut untuk menjalankan aktiviti itu secara komersial.

Usaha yang dijalankan oleh Jabatan Haiwan di setiap negeri untuk mendidik dan memberi pengetahuan kepada penternak harus dipuji kerana ia secara tidak langsung dapat meyakinkan orang ramai bahawa aktiviti penternakan ini adalah bidang yang menguntungkan.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan terhadap industri tersebut, sebuah syarikat swasta, Institut Pengetahuan Ar-Raudhah melalui Ladang Bioteknologi Ar-Raudhah mengambil inisiatif menganjurkan program usahawan penternakan kambing secara saintifik kepada mereka yang berminat.

Menurut Pengerusi Ladang Bioteknologi Ar-Raudhah Sdn. Bhd., Datuk Bistamam Ramli, ladang tersebut menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan terbaik kepada penternak- penternak baru dan lama yang berminat menceburkan diri dalam bidang itu.

‘‘Kami di sini percaya pembangunan setiap industri perlulah disokong oleh pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi memastikan matlamat yang dirancang tercapai.

‘‘Kami mempunyai matlamat untuk mempertingkat serta memperluaskan pengetahuan dalam bidang ini dan seterusnya menyampaikan pengetahuan tersebut kepada para penternak untuk diaplikasikan,’’ katanya.

Program yang pertama kali dianjurkan itu telah menarik minat 25 orang penternak yang ingin mendalami bidang tersebut.

Penternak-penternak ini telah menjalani latihan selama tujuh hari pada bulan lalu untuk diberi pendedahan tentang bidang penternakan kambing secara menyeluruh.

Melalui program itu, mereka diajar tentang aktiviti pembiakan menggunakan pendekatan bioteknologi dengan memberi fokus kepada beberapa perkhidmatan utama seperti pengumpulan dan penilaian semen, penyejuk bekuan semen, permanian beradas, pengumpulan dan pemindahan embrio serta diagnosis kebuntingan.

Selain itu, penternak-penternak juga dilengkapkan dengan ilmu penternakan asas yang merangkumi aspek pemakanan, penjagaan kesihatan, pembiakbakaan, produksi dan reproduksi serta pengurusan sisa dari ladang ternakan.

Program ini memberi penekanan khusus kepada pembiakan beberapa jenis kambing bergenetik tinggi seperti Boer dan Kalahari yang mana dagingnya yang berkualiti dan rendah kolestrol mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

Peserta program ini telah mendapat tunjuk ajar daripada pakar veterinar dan bioteknologi, Dr. Mohd Azam Khan dan Prof. Madya Dr. Abdul Wahid Harun.

Mereka turut didedahkan dengan teknik pengurusan kewangan yang betul melalui penerangan yang diberikan oleh wakil dari Agrobank dan Majlis Amanah Rakyat.

Menurut seorang peserta , Sharuddin Zainuddin, 55, minatnya untuk menyertai bidang penternakan timbul setelah merasakan aktiviti tersebut mampu berkembang jika dilaksanakan dengan baik.

‘‘Saya yakin dengan program latihan yang ditawarkan oleh Ladang Bioteknologi Ar-Raudhah ini kerana mereka menggunakan pendekatan teknologi moden dan baka-baka yang bergenetik tinggi,’’ katanya.

Beliau yang merupakan bekas jurutera marin bercadang untuk menjadikan bidang penternakan sebagai aktiviti sepenuh masa sebaik sahaja program tersebut tamat.

Seorang lagi peserta, John Ng, 30 yang telah menceburi bidang penternakan kambing sejak empat tahun lalu turut berminat menyertai program tersebut.

‘‘Saya tertarik untuk menyertainya kerana program ini menawarkan pendedahan menyeluruh mengenai penternakan kambing dari segi pembiakan, penjagaan, pengurusan kewangan dan sebagainya,’’ katanya.

Melalui program itu, beliau berminat untuk mempelajari teknik-teknik pembiakan permanian beradas dan pemindahan embrio supaya ia dapat diaplikasikan dalam pengurusan ladangnya.

Satu-satunya peserta wanita pada program tersebut, Shamshinar Yahaya, 24, pula menyifatkan industri penternakan mempunyai potensi besar untuk berkembang pada masa depan.

Ini kerana, beliau yakin usaha penternakan yang dijalankan oleh penternak- penternak tempatan mampu untuk memenuhi permintaan terhadap daging kambing.

‘‘Disebabkan minat yang mendalam dalam bidang ini, saya mengambil keputusan untuk menceburinya kerana kalau kita tak cuba kita tidak akan tahu manfaatnya,’’ katanya.

Akauntan yang berasal dari Perlis itu bercadang untuk membuka ladang ternakannya sendiri di Johor dengan bantuan rakan-rakannya.

3 ulasan:

Nizam Agro Farm berkata...

Salam perkenalan dari Nizam Agro Farm. Moga usaha kita memajukan ternakan kambing akan berjaya. Jika ada kesempatan, silalah layari blog saya di http://nizamfarm.blogspot.com

thekebun berkata...

Kami akan mencuba menternak jamnapari, ada tip tip tentang macan mana melihat 'breed standard' untul baka kambing jamnapari? Thanks!

Global Excellent Marketing Sdn Bhd berkata...

Sertai GEM Community secara percuma. Satu tapak untuk para Usahawan - usahawan berkongsi-kongsi maklumat dan pendapat (Forum, Blog, Iklan DLL) dalam bidang yang yang ceburi seperti Pertanian, Ternakan DLL. www.gem.socialgo.com