Sabtu, 29 Mac 2008

Kerajaan galak ternak kambing

BAHAU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat untuk mengurangkan penggantungan kepada daging kambing import yang kini mencecah 91 peratus.

Sehubungan itu, kata Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sentiasa menggalakkan usaha untuk menternak kambing tempatan kerana permintaan baginya dilihat cukup tinggi.

“Kementerian mensasarkan 15 peratus pengeluaran daging kambing tempatan menjelang 2010, berbanding cuma sembilan peratus ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke ladang kambing BoDen di Serting Hilir, di ini, semalam.

Ladang kambing BoDen seluas 40.87 hektar adalah milik Distinct Agricultural Services Sdn Bhd, milik Bumiputera yang menghasilkan baka kambing jenis Boer paling berkualiti untuk pasaran penternak tempatan.

Mustapa berkata, kejayaan ladang BoDen membuktikan bahawa usaha sama di antara pihak swasta dan kerajaan boleh membawa hasil memberangsangkan, sekali gus berupaya membantu keperluan tinggi pasaran tempatan.

“Ladang kambing BoDen adalah satu contoh kerjasama agensi kerajaan dengan usahawan, selain gabungan kerja bersama Jabatan Haiwan serta Mardi. Kerjasama pintar yang terjalin ini bukan saja menguntungkan pihak syarikat, tetapi juga memberi pulangan serta pengalaman baik kepada jabatan kerajaan,” katanya.

Katanya, kerajaan akan terus memberi bantuan dari segi teknikal dan pengurusan supaya usaha penternakan secara komersial kepada usahawan kambing jenis Boer.

“Jabatan Haiwan dan Mardi akan membantu dalam aspek kepakaran dari segi teknikal mahupun pengurusan. Apabila syarikat itu teguh, mereka boleh menyediakan kepakaran kepada kakitangan kerajaan dalam sektor penternakan kambing,” katanya.

Mustapa dibawa melawat kandang kambing syarikat berkenaan yang ketika ini menempatkan 960 kambing Boer. Ladang itu mampu memuatkan kira-kira 2,000 kambing Boer pada satu-satu masa. - Bernama

Tiada ulasan: